Insiden Kegagalan kuasa elektrik Semenanjung Malaysia 1996

Kejadian ini berlaku pada 3 Ogos 1996, iaitu 6 tahun selepas Lembaga Letrik Negara (LLN) diswastakan sebagai sebuah syarikat dagangan awam, iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB).[2][5] Kejadian bekalan elektrik terputus di seluruh negara merupakan kali kedua selepas insiden serupa yang berlaku 4 tahun sebelumnya iaitu pada 29 September 1992.[6][4] Insiden ini dikatakan berpunca daripada kerosakan talian penghantaran berdekatan Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka, Terengganu pada hari Sabtu jam 5.17 petang yang menyebabkan semua stesen jana kuasa di seluruh semenanjung gagal membekalkan kuasa elektrik.[2][7] Keadaan di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang pada ketika itu menjadi huru-hara, menyebabkan aktiviti harian orang ramai dan sistem lalu lintas tergendala.[6] Malah, lebih parah lagi apabila aktiviti komersial negara juga terjejas. Bekalan elektrik kembali pulih pada 4 Ogos 1996 jam 9:30 pagi selepas 15 jam terputus bekalan.[2][8][9] Syed Hidzam Osman, jurucakap Tenaga Nasional, berkata 95 peratus kuasa telah berjaya dipulihkan pada pagi Ahad.[10]

Kerugian yang ditanggung oleh pengilang pada hari tersebut sahaja dianggarkan berjumlah RM123 juta mengikut pengiraaan yang dilakukan oleh Persatuan Pekilang–Pekilang Malaysia (FMM).[2][6][11] TNB sendiri terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM13.6 juta dan RM10 juta tambahan bagi menampung kerosakan peralatan. Berikutan itu, kerajaan telah meluluskan lima penjana kuasa untuk menyertai perniagaan penjanaan elektrik bagi mengelakkan insiden serupa daripada berlaku lagi. Akibat kesan daripada peristiwa ini, saham utama TNB dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) jatuh mendadak dari 45 sen kepada RM9.75.[2][6][12][13]